GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memandang serius perbuatan mengusik pepasangan elektrik milik syarikat itu yang semakin berleluasa, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yusof Jaafar.

Beliau berkata, kejadian membabitkan Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM) dan kecurian kabel elektrik milik SESB perlu diambil perhatian serius termasuk oleh masyarakat khususnya pengguna SESB dan ia adalah satu kesalahan.

Menurutnya, SESB tidak akan berkompromi dengan kes membabitkan penggunaan elektrik secara curang, ataupun kelakuan usikan ke atas kabel elektrik miliknya dan akan menuntut ganti rugi melalui perintah mahkamah.

"Dalam kes sebegini, SESB akan mengeluarkan surat tuntutan kerugian dan membawa kes itu ke mahkamah ke atas pengguna yang didapati menggunakan elektrik secara curang.

"Sekiranya pengguna enggan untuk bekerjasama tindakan lebih tegas akan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusof berkata, ada beberapa kes akan dibawa ke mahkamah bagi tujuan tuntutan ganti rugi dan SESB membuat susulan kes berkenaan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Polis Diraja Malaysia bagi tindakan tersebut.

Menurutnya, SESB membuat pemeriksaan berkala bagi mengenal pasti pemilik akaun khususnya premis perniagaan yang memasang sebarang alatan mengusik meter elektrik bagi mengelak penggunaan sebenar direkodkan oleh SESB.

Beliau berkata, syarikat itu juga sudah meluluskan dasar pemberian imbuhan kepada pemberi maklumat berkaitan dengan KUPM dan sambungan elektrik tidak sah.

"SESB menguatkuasakan penggunaan kad kuasa bagi memastikan hanya pekerja kami yang sah sahaja boleh mencapai pepasangan meter SESB di premis pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 6:04 PM