JINQ EN gagal raih pingat emas acara 200m kuak dada wanita. FOTO SUKAN KPT
JINQ EN gagal raih pingat emas acara 200m kuak dada wanita. FOTO SUKAN KPT
Daripada Syafiq Aznan di Surabaya


Surabaya: Di sebalik terlepas pingat emas acara 200m kuak dada wanita dengan hanya dibezakan 0.08s (saat) di belakang perenang Indonesia, Adellia di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 namun setidak-tidaknya Phee Jinq En berjaya memperbaiki catatan musim terbaiknya.

Pada perlumbaan di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) Jawa Timur, semalam, Olimpian negara itu mencatat 2:33.89s untuk merangkul pingat perak dalam acara terakhirnya di AUG kali ini.

Catatan itu memadam catatan musim terbaiknya sebelum ini, 2:33.90s yang dilakar pada Kejohanan Jemputan Renang Peringkat Usia (MIAG), April lalu.

"Tiada rezeki untuk saya hari ini (semalam) tetapi saya dapat buat catatan terbaik musim ini. Saya dapat perbaiki catatan musim terbaik dengan 0.01s.

"Saya sudah lakukan yang terbaik tetapi perenang Indonesia itu dapat melakar rekod peribadi terbaiknya," katanya.

Selain pingat perak acara 200m kuak dada wanita, penuntut Universiti Taylor di Surabaya-Malang itu menutup kempen AUG 2024 dengan satu pingat emas dalam acara 50m kuak dada wanita.

Buat masa ini, Jinq En menjelaskan dia mahu berehat seketika daripada arena sukan dan tidak merancang untuk menyambung pelajarannya selepas mengikuti majlis graduasinya, esok.

"Saya sudah bertanding dalam dua pertandingan berturut-turut selepas di Singapura dan AUG 2024, minggu depan pun ada lagi (pertandingan). Jadi saya perlukan rehat mental kerana saya sudah memberikan segalanya dalam tempoh dua tahun ini.

"Saya pun tidak pergi ke Sukan Olimpik Paris 2024, jadi saya boleh berehat seketika dan kemudiannya kembali dengan lebih kuat.

"Saya akan balik ke Pulau Pinang dan selepas itu mungkin saya akan pergi ke pantai untuk menenangkan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 6:12 PM