SKUAD futsal negara raih tiket ke pentas final. FOTO Sukan KPT
SKUAD futsal negara raih tiket ke pentas final. FOTO Sukan KPT
Daripada Syafiq Aznan di Surabaya


Surabaya: Skuad futsal negara berpeluang meraih pingat emas apabila mengesahkan tempat ke final di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, hari ini.

Pada aksi separuh akhir di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), skuad bimbingan Addy Shairullyzam menumbangkan juara bertahan, Thailand 5-4 secara penentuan penalti selepas terikat 4-4 dalam masa sebenar.

Malaysia sepatutnya menamatkan perlawanan dalam tempoh masa sebenar apabila mendahului 4-3 hasil jaringan Muhammad Syarifuddin Md Akhir (m34) namun Sattawat Suntorn mengikat kedudukan 4-4 pada minit ke-38.

Kegagalan Sattawat serta Mahakappan Chaekpimai menyempurnakan penalti menutup peluang mereka untuk mara ke final dan Malaysia akan bertemu sama ada Indonesia ataupun Timor Leste bagi merebut pingat emas, petang esok.

Mengulas aksi terbabit, pemain negara, Zulkifli Abu Hassan Zali mengakui mereka agak kecewa apabila hampir berada di ambang final sebelum Thailand berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir.

"Kita cuba menyerap asakan tetapi Thailand menggunakan 'power play' dalam tempoh lima minit terakhir dan itu membuatkan kami keletihan.

"Memang agak 'down' apabila bolos gol penyamaan tetapi kami kekalkan fokus sehingga minit akhir dan berjaya menang dengan penalti," katanya.

Sementara itu, Addy menjelaskan anak buahnya berdepan pelbagai cabaran sebelum turun bagi aksi terbabit namun anak buahnya menunjukkan persembahan yang terbaik apatah lagi menentang pasukan yang menjulang banyak kejuaraan di AUG seperti Thailand.

"Kita tidak cukup rehat seperti Thailand yang ada rehat sehari. Kita agak kepenatan kerana baru beraksi semalam dan kita turun untuk aksi sebelah pagi, hari ini.

"Seorang pemain kita pun, Muhammad Bukhari Samsudin mengalami keracunan makanan dan tidak dapat beraksi semalam.

"Tetapi selepas mendapat rawatan dan beberapa botol air dimasukkan, dia dapat beraksi hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 5:50 PM