GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas enam jam bertarung nyawa selepas dijumpai tertiarap dalam kolam renang oleh ibunya di sebuah rumah inap desa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa kali terakhir dilihat bapanya kira-kira 6 petang ketika bermain di tepi kolam renang berkenaan bersama anak saudaranya yang lain.

"Bapa mangsa kemudiannya masuk ke inap desa untuk membuat persiapan makanan namun kira-kira setengah jam selepas itu ibu mangsa yang mahu mencarinya mendapati kanak-kanak itu di kolam renang dewasa dalam keadaan tertiarap.

"Ketika kejadian terdapat beberapa individu dewasa sedang sibuk membuat persiapan makanan manakala kanak-kanak bermain di bahagian luar.

"Kesemuanya tidak perasan bagaimana mangsa boleh berada di dalam kolam renang berkenaan," katanya menerusi kenyataan, petang ini.

Beliau berkata, mangsa selepas itu mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar dan dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 1.10 pagi tadi.

Menurutnya, hasil bedah siasat Forensik HRPB mendapati punca kematian adalah post drowning iaitu lemas dengan tiada kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih sedang dijalankan.

Omar Bakhtiar berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Kangsar di talian 05-7762222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 5:34 PM