GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhammad Yusri Muzamir


KANAK-KANAK perempuan maut selepas lemas ketika berenang dalam kolam renang di sebuah pangsapuri di Jelutong, Georgetown, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa, Lee Tian Yu, 4, dilaporkan maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata kematian kanak-kanak terbabit disahkan doktor bertugas di Zon Merah HPP dengan bedah siasat akan dilakukan esok.

“Mangsa ketika itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa oleh ambulans dari Apartment Halaman Kristal Lengkok Free School, Georgetown.

“Setelah rawatan diberi, mangsa didapati meninggal dunia ketika dalam perjalanan akibat lemas dalam kolam renang,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan keterangan ibu mangsa, beliau berkata, menjadi kebiasaan keluarga mereka untuk membawa kanak-kanak terbabit dan abangnya ke rumah rakannya untuk beriadah di kolam renang berkenaan.

“Semasa kejadian mangsa berada di kolam renang kanak-kanak dan tidak memakai apa-apa alat keselamatan, termasuk pelampung, selain tiada pengawasan orang dewasa.

“Ks diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 4:39 PM