PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah), Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) dan Timbalan CDM Datuk Nicol Ann David (kanan) bergambar bersama pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Paris pada Penutup Sambutan Hari Olimpik  di perkarangan Plaza Raintree, Tun Razak Exchange, baru-baru ini. FOTO BERNAMA
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah), Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) dan Timbalan CDM Datuk Nicol Ann David (kanan) bergambar bersama pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Paris pada Penutup Sambutan Hari Olimpik di perkarangan Plaza Raintree, Tun Razak Exchange, baru-baru ini. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: MY Creative Moments yang tampil memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul pada majlis pelancaran pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 di sebuah pusat beli-belah di sini, Ahad lalu, berjanji akan belajar daripada kesilapan berkenaan.

Pengarah Urusannya, Wong Kang Woon berkata, majlis pelancaran itu adalah sebahagian daripada aturcara kemuncak sempena sambutan Hari Olimpik Sedunia 2024.

"Kami menganjurkan Sambutan Hari Olimpik Sedunia selama tiga hari bermula Jumaat, Sabtu dan seterusnya kemuncaknya pada hari Ahad dan diwarnai dengan majlis pelancaran pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Objektif kami ialah mengkomersialkan Hari Olimpik Sedunia sebagai satu platform mempromosi fungsi dan tanggungjawab MOM sebagai badan yang memayungi persatuan sukan kebangsaan yang mendaftar dan mengirus Kontinjen Malaysia di semua temasya pelbagai sukan antarabangsa..

"Kami juga mencetuskan kempen Sokong Kontinjen Malaysia dengan menawarkan tiket ke Paris bagi mana-mana individu terpilih yang membeli baju khas Sokong Kontinjen Malaysia di 'OlympicMAS' Tik Tok Shop.

"Secara keseluruhan sambutan Hari Olimpik Sedunia yang menawarkan beberapa mini permainan seperti ping-pong, hanging man, bola baling and Giant Jingga berserta reruai makanan menerima kunjungan lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari. Kami juga bekerjasama dengan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk menganjurkan pertandingan bola keranjang 3 v 3, selain MORSA untuk Obstacle Tryout.

"Kempen Sokong Kontinjen Malaysia juga berjaya kerana kami menjual lebih 4,000 helai baju Sokong Kontinjen Malaysia dan pemenangnya sudah diumumkan," katanya.

Wong berkata, sambutan Hari Olimpik Sedunia itu kali pertama diadakan di depan khalayak ramai di pusat membeli-belah sebagai antara usaha membantu MOM mempromosi penyertaan Kontinjen Malaysia ke Paris 2024.

"Kami mencetuskan idea ini dan mendapat mandat MOM tanpa menggunakan dana badan itu sebaliknya kami sebagai pihak ketiga dibenarkan mencari penaja sendiri. Spekulasi bahawa kami dibayar untuk menganjurkan sambutan itu tidak benar kerana kami yang mengeluarkan pelaburan dengan jumlah agak besar," katanya.

Wong terdahahulu dalam satu kenyataan di media sosial MyCreative Moments memohon maaf kepada MOM, Kementerian Belia dan Sukan serta peminat sukan negara atas sebarang kekeliruan yang timbul pada majlis pelancaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 5:38 PM