LAPORAN portal MyMetro
LAPORAN portal MyMetro
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat lemas selepas dibawa arus di Sungai Ulu Piah di Kampung Ulu Piah, dekat Tambun, di sini, pagi tadi dibawa berkelah ke sungai itu bersama nenek, bapa saudara, serta dua abang mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa Izz Auf Ghazali berusia tiga tahun itu bagaimanapun dikatakan tiba-tiba menjerit sejurus mula dihanyutkan ketika mereka mandi di sungai itu.

Katanya, ketika kejadian kira-kira 11 pagi itu, ibu dan bapa kanak-kanak terbabit tidak ikut serta dalam perkelahan berkenaan.

"Bapa saudara mangsa cuba menyelamatkannya selain menjerit meminta pertolongan orang ramai yang berada di situ namun arus deras sungai menyebabkan mangsa hilang dari pandangan akibat dihanyutkan.

"Seorang lelaki berusia 25 tahun yang berbasikal kemudiannya secara kebetulan menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 1.5 kilometer daripada lokasi mangsa mula dihanyutkan, seterusnya membawa mangsa ke tebing sungai," katanya dalam kenyataan hari ini.

A Asmadi berkata, pemeriksaan dibuat pasukan perubatan yang sampai ke lokasi kejadian sekitar 11.40 pagi mendapati nadi mangsa masih berdenyut lalu segera mengejarkan mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Katanya, sekitar 12.20 tengah hari tadi, mangsa masih diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di Wad Kecemasan hospital berkenaan sebelum mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh doktor pada 12.55 tengah hari.

"Proses bedah siasat akan dijalankan hari ini untuk mengetahui punca kematian mangsa dengan kes (setakat ini) dikelaskan sebagai SDR (kematian mengejut)," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang dihanyutkan itu ditemukan orang awam sebelum ketibaan bomba di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Kanak-kanak 4 tahun lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 6:01 PM