ANTARA aksi skuad negara bertemu Thailand, hari ini. FOTO IHSAN FAM
ANTARA aksi skuad negara bertemu Thailand, hari ini. FOTO IHSAN FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peluang skuad bawah 16 tahun (B-16) negara untuk melangkah ke separuh akhir Piala Asean B-16 tertutup rapi apabila tewas 1-3 kepada Thailand pada perlawanan terakhir Kumpulan C, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Surakarta itu menyaksikan barisan anak buah Javier Ribera gagal mengekang asakan lawan terutama pada separuh masa kedua hingga menyebabkan Thailand berjaya menyumbat tiga gol pada saat akhir perlawanan.

Skuad kendalian Javier Ribera tidak perlu menunggu lama untuk di depan apabila memperoleh gol pertama hasil rembatan penyerang muda, Izzuddin Afif pada minit ke-4.

Pasukan negara berpeluang untuk menambah gol pada separuh masa pertama terutamanya menerusi Awal Wafiy pada minit ke-42 ketika situasi satu lawan satu sebelum sepakannya sedikit tersasar jauh.

Bersambung babak kedua, Malaysia B-16 melakukan beberapa pertukaran penting untuk terus menekan Thailand.

Perjuangan skuad bimbingan Javier Ribera terencat apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain di atas padang susulan layangan kad merah.

Thailand berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh Jompon Homboonma pada minit ke-74 sebelum Siwakorn Ponsan meledak dua minit kemudian untuk mendahului 2-1.

Penalti kedua untuk Thailand diberikan oleh pemain Malaysia hasil terjahan keras dalam kotak penalti yang disempurnakan oleh Poramet Laoongdi pada minit ke-88.

Tambahan masa enam minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan C dengan 3 mata sekali gus menyaksikan langkah Malaysia terhenti di peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 6:45 PM