HANNAH ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Sukan Tempur Kebangsaan di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia, hari ini. FOTO BERNAMA
HANNAH ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Sukan Tempur Kebangsaan di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia, hari ini. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri dapat menampilkan aksi cemerlang di Olimpik Paris nanti selepas mendapat talian hayat terakhir menerusi slot tambahan untuk acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita daripada pihak Akuatik Dunia, semalam.

Jelas Hannah, beliau yakin atlet kelahiran Kuala Lumpur itu sudah melakukan persiapan yang begitu rapi sebelum ini meskipun dia masih belum mengetahui status terkini sehingga mendapatkan perkhabaran yang mencetuskan kegembiraan dalam kem terjun negara.

"Tahniah kepada atlet terjun kerana kita dapat satu lagi slot dan saya berharap mereka telah berlatih seperti dengan andaian mereka akan dapat 'wild card' itu. Jadi saya harap dia akan memanfaatkan peluang ini kerana untuk Dhabitah memang beliau di bawah sokongan Road To Gold (RTG) sebelum ini.

"Selain itu, untuk semua atlet di bawah program RTG, mereka telah mendapat segala-galanya seperti apa yang mereka minta. Semua atlet itu akan pergi dengan persiapan terbaik," katanya selepas Majlis Pembukaan Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan di Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan selepas melalui tempoh yang sukar sebelum ini, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akhirnya boleh menarik nafas lega apabila terdapat juga wakil negara dalam sukan terjun bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Olimpik Paris.

Pengarah Teknikal (Terjun) MAS, Bryan Nickson Lomas berkata, penantian yang mereka tunggu beberapa bulan itu memang mendebarkan namun ternyata memberi keceriaan kepada pasukan terjun negara meskipun ia hadir melalui slot tambahan daripada pihak Akuatik Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 7:09 PM