HANNAH berucap pada Majlis Pembukaan Kejohanan Sukan Tempur Kebangsaan di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia, hari ini. FOTO BERNAMA
HANNAH berucap pada Majlis Pembukaan Kejohanan Sukan Tempur Kebangsaan di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia, hari ini. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu isu pakaian yang menjadi bualan orang ramai segera dilupakan dan semua pihak dapat bersatu hati memandangkan Sukan Olimpik Paris semakin hampir ke puncaknya dan atlet negara kini dalam persiapan terakhir untuk ke kejohanan itu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beliau menyambut baik pendirian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila mereka sanggup memutuskan untuk menambah baik pakaian rasmi Kontinjen Malaysia yang akan dipakai pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menerima kritikan pelbagai pihak sebelum ini.

"Masalah ini (isu pakaian atlet) seperti yang saya nyatakan iaitu ia dikendalikan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan mereka pun sudah keluarkan kenyataan akan buat penambahbaikan dan saya menghormati MOM sebagai satu institusi. Seperti saya nyatakan, kita sudah kurang 30 hari menjelang Olimpik dan saya tak nak masalah ini berpanjangan.

"Sebab kalau kita hendak berdiri sini nak salahkan pihak A, pihak B, dia tidak akan habis. Dalam isu sukan bukan saja KBS, semua pihak memainkan peranan seperti Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara dan saya hendak kita pergi secara harmoni sebagai satu pasukan.

"Saya tak nak atlet dengar isu KBS gaduh dengan MOM. Kita semua ada hubungan yang bagus. Kita hendak tema 'Kita Semua Team MAS' itu betul-betul memegang jiwa seperti itu bila kita pergi," katanya selepas Majlis Pembukaan Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Sementara itu, pada perkembangan yang sama, Hannah tidak menolak kemungkinan acara sukan itu akan dipertandingkan di luar Lembah Klang sekiranya Jabatana Belia dan Sukan Negara (JBSN) dapat lokasi yang lebih besar dari yang sebelum ini.

"Saya pasti JBSN akan mencari venue yang lebih selesa kerana sekarang ini bila acara bermula, penonton tidak boleh masuk melihat acara ini. seenarnya penonton itu cukup penting, mungkin selepas ini kita perlu pertimabangkan stadium yang lebih besar untuk memastikan acara ini dapat dijalankan dengan baik," katanya.

Kejohanan Sukan Tempur yang memasuki edisi kedua itu diadakan bertujuan memperkasakan pembangunan sukan tempur terutamanya di peringkat akar umbi menerusi penganjuran kejohanan seterusnya menyerlahkan potensi bakat baharu sukan negara.

Antara sukan yang terlibat adalah taekwondo, silat olahraga, silambam, muay thai,wushu dan tinju yang membabitkan jumlah penyertaan secara keseluruan 218 orang bagi lelaki dan wanita.

Acara itu bermula dari 27 hingga 30 Jun ini dan mendapatkan sambutan sangat luar biasa daripada seluruh Malaysia yang hadir mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 6:31 PM