Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Masalah gangguan bekalan air bukan sahaja berlaku di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang, namun ada beberapa negeri lain turut berdepan situasi sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dan berusaha untuk menyelesaikannya tanpa mengira fahaman politik.

"Di (Sungai Bakap) Nibong Tebal ada masalah air… di Kedah (juga) ada masalah air. Di Kelantan lagi (ada) masalah air, (termasuk) di Sabah pun masalah air.

"Namun, kita (kerajaan) cuba selesaikan. Dalam pertemuan dengan MB Kelantan (Datuk Nassuruddin Daud), beliau maklumkan pam (sekarang) tidak cukup tinggi (untuk sedut air) maka saya arahkan beli segera pam (baharu). Ini bukan soal politik, tetapi soal rakyat.

"Yang ini (tolong rakyat) kita buat. Saya boleh tanya yang dulu (kerajaan terdahulu), tapi saya tak buat (begitu) walaupun saya boleh tanya… tapi tak apa masa kita, kita buat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Tekun Madani di SP Arena Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan pusat mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Perak bagi membantu menyalurkan air di bahagian Utara Perak termasuk Seberang Perai Selatan.

"Di Pulau Pinang ini airnya tidak cukup... di Sungai Pinang tak ada, air laut tak boleh minum, jadi kita berikhtiar dan cari penyelesaian.

"Saya telah bertemu dengan Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) kemudian jumpa Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) sebelum Perak bersetuju membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) ke Seberang Perai dengan peruntukan sebanyak RM4 bilion," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang menegaskan sekali lagi bahawa tidak pernah lari apabila giat berusaha merangka projek jangka pendek, sederhana dan panjang dalam menangani permasalahan air di Mukim 5 Sungai Bakap yang membelenggu penduduk sejak enam tahun lalu.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, ketiga-tiga projek berkenaan diumumkan sebelum ini menerusi Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP2030) oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

PBAPP sebelum ini beberapa kali menjelaskan mengambil pelbagai inisiatif meningkatkan bekalan air di daerah Seberang Perai Selatan antaranya melalui tiga projek mitigasi tambahan iaitu Pakej 12A Loji Rawatan Air (LRA), LRA Kompak di Sungai Kerian dan Pemasangan Paip di Jalan Permatang Pauh hingga ke Jalan Kampung Bagan Serai Seberang Perai Tengah.

Dalam pada itu, satu lagi projek jangka panjang iaitu Projek Air Perak dan Pulau Pinang juga dijangka akan menyelesaikan permasalahan air di kawasan itu selepas 2030 kelak.

Anwar Ibrahim beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada  Majlis Perasmian Karnival TEKUN Madani Pulau Pinang di Seberang Perai Arena, Seberang Jaya. FOTO DANIAL SAAD
Anwar Ibrahim beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Perasmian Karnival TEKUN Madani Pulau Pinang di Seberang Perai Arena, Seberang Jaya. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 5:33 PM