LOKASI kanak-kanak lelaki berusia empat tahun lemas, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
LOKASI kanak-kanak lelaki berusia empat tahun lemas, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus sungai di Kampung Ulu Piah, dekat Tambun, di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa ditemukan orang awam pada jarak satu kilometer daripada lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dikejarkan ke lokasi sebaik panggilan kecemasan diterima jam 10.49 pagi.

"Ketika dalam perjalanan ke tempat kejadian, kami dimaklumkan mangsa sudah dijumpai oleh orang awam. Mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

"Bomba hanya membuat pemantauan di lokasi serta mengambil maklumat mengenai mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 3:40 PM