Wann bersama adik-beradiknya.
Wann bersama adik-beradiknya.
Ridzuan Abdul Rahman

 

 

Kuala Lumpur: Ibu kepada penyanyi terkenal Wann Rashidah iaitu Junaidah Shaari atau Miss June, 73, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 4.46 petang tadi.

Perkara ini disahkan oleh penyanyi terbabit semasa dihubungi oleh Harian Metro. 

Wann yang kini menetap di Singapura bersyukur sempat pulang dari Singapura bersama adiknya, Wan Intan Suraiya untuk berada di samping ibu mereka pada akhir hayatnya.

"Alhamdulillah kami kat sini, berdua dengan adik. Kami sempat jaga mak kat hospital," katanya ringkas. 

Sementara itu, adik kepada penyanyi terbabit iaitu Wan Samirah Meor Abdul Rashid berkata, Allahyarham ibunya sudah lama menghidap kanser hati tahap empat. 

"Memang doktor dah cakap pada abah yang mak tak dapat bertahan lama lagi. Malam kelmarin adalah kali terakhir saya urut mak.

"Jenazah mak akan dibawa balik ke surau PPR Sri Aman, Jinjang dan dijangka dikebumikan jam 11 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Batu Lima jalan Ipoh (belakang komplek membeli belah) Sungai Mas.," katanya. 

Semasa hayatnya, Allahyarham Miss June adalah insan terpenting menjadi pengurus membawa kejayaan Wann ketika itu. 

Selain Wann, dua anaknya yang turut merakamkan album ialah Wan Salmiah atau Hawa dan Wan Samirah yang mesra dengan panggilan Wann Kecik.

Allahyarham meninggalkan suami Meor Abdul Rashid serta tujuh anak.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 7:09 PM