RAFIZI, gambar fail.  FOTO NSTP
RAFIZI, gambar fail. FOTO NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof


Nibong Tebal: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mencabar Perikatan Nasional (PN) membentangkan laporan prestasi sepanjang komponen parti itu memikul tugas sebagai wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap.

Beliau berkata, ketika ini jentera kempen PN cenderung memainkan mood nasional dan kehilangan punca dalam menjurus ke arah penyelesaian masalah setempat demi meraih sokongan pengundi di kawasan berkenaan.

"Berikutan itu, kempen minggu terakhir kami akan memberi fokus seimbang antara penjelasan dan pendirian kerajaan terhadap beberapa isu yang dimainkan lawan.

"Saya juga mencabar PN untuk membentang prestasi selama mereka menjadi wakil rakyat di sini kerana nampak mereka cuba mengelak soal prestasi," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) Perpaduan di Sungai Jawi, hari ini.

Rafizi ketika merumuskan perjalanan kempen pada minggu pertama turut mendapati jentera PN bagaikan kehilangan punca sehingga bertindak serkap jarang memainkan isu nasional yang menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati rakyat.

Beliau berpandangan, pergerakan calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin pula berjalan lebih lancar serta padat dengan 25 hingga 30 program setiap hari.

"Dalam minggu kedua ini sasaran dan fokus kami adalah memastikan naratif kempen berlaku dengan baik dan sampai, terutama kepada pengundi atas pagar.

"Saya boleh maklumkan penilaian kami pada kempen Kerajaan Perpaduan adalah jelas, sebab itu kita tengok segala mesej yang disampaikan PN cacamarba mengikut kepada isu nasional yang tidak begitu relevan kepada pengundi Sungai Bakap," katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap menyaksikan antara Dr Joohari menentang Abidin Ismail yang mewakili PN dalam persaingan satu lawan satu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 6:21 PM