FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Luluh hati seorang bapa apabila menemukan bayi perempuannya yang berusia 21 bulan terapung dalam keadaan terlentang dalam kolam renang kanak-kanak di Tambun, di sini, semalam.

Kejadian disedari lelaki itu ketika mencari bayinya dalam kejadian di rumah bapanya iaitu datuk mangsa pada jam 8.45 malam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata kematian bayi itu dimaklumkan oleh hospital swasta di sini yang mengesahkan kematian mangsa kira-kira jam 10.30 malam tadi.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku dalam kolam renang kanak-kanak yang terletak di dalam rumah lot yang dimiliki datuk mangsa.

"Ketika kejadian mangsa bersama ibu bapanya mengunjungi rumah terbabit untuk menziarahi ahli keluarga.

"Mangsa kemudian dijumpai oleh bapanya dalam keadaan terlentang dan terapung dalam kolam renang kanak-kanak di rumah itu.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, hasil bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini mendapti punca kematian bayi itu adalah lemas.

Yahaya berkata, sehubungan itu kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) iaitu kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang berpatutan yang sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 5:48 PM