AFP

London: Pengurus Chelsea yang semakin tertekan, Jose Mourinho berdepan pertuduhan baru dikenakan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris berikutan insiden ketika tamat babak pertama aksi hujung minggu lalu.

Perlawanan itu berkesudahan juara bertahan Liga Perdana berkenaan tumbang 1-2 kepada West Ham.

Mourinho sudah mengemukakan rayuan berhubung denda £50,000 (RM326,900) serta penggantungan stadium untuk satu perlawanan atas kenyataan dibuat kepada pegawai perlawanan ketika Chelsea tewas kepada Southampton awal bulan ini.

Kini beliau berdepan pertuduhan terbaru selepas diarahkan duduk di tempat penonton oleh Jonathan Moss kerana memasuki bilik persalinan pengadil tanpa kebenaran pada waktu rehat di Upton Park, Sabtu lalu.

“Jose Mourinho didakwa dengan pertuduhan salah laku membabitkan kata-kata serta perbuatannya ke atas pegawai perlawanan dalam bilik persalinan ketika waktu rehat,” kata kenyataan dikeluarkan FA.

Salah seorang pembantu Mourinho, Silvino Louro pernah diarah meninggalkan padang selepas membuat protes apabila Nemanja Matic dilayangkan kad merah dan beliau turut dikenakan tuduhan salah laku.

Mourinho tidak puas hati dengan kad merah Matic serta keputusan pengadil yang mendakwa Cesc Fabregas berada dalam kedudukan ofsaid selepas pemain tengah Chelsea itu menyempurnakan hantaran Willian dan gol itu boleh menyelamatkan Blues daripada tewas.

Gara-gara berang apabila terpaksa duduk di tengah kelompok penyokong West Ham ketika Andy Carroll menanduk masuk gol penyamaan, Mourinho kemudiannya melanggar peraturan Liga Perdana dengan enggan bercakap kepada media selepas perlawanan dan tindakan itu turut meletakkan dirinya berisiko dikenakan satu lagi tindakan.

Penggantungan stadium ke atas Mourinho bakal berkuatkuasa jika beliau mengeluarkan kritikan lanjut ke atas pegawai perlawanan tetapi tindakannya untuk berdiam diri itu mampu menyelamatkannya.

Chelsea dan West Ham turut didakwa atas kegagalan mengawal pemain masing-masing selepas perlawanan.

“Seorang lagi jurulatih Chelsea Silvino Louro bakal dikenakan dakwaan atas salah laku yang membawa kepada penyingkirannya dari kawasan teknikal pasukan,” kata kenyataan itu lagi.

“Semua pihak diberikan tempoh hingga jam 6 petang Khamis ini untuk menjawab pertuduhan dikenakan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:18 AM