MOURINHO
MOURINHO
AFP

London: Jose Mourinho berdepan tuduhan salah laku oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris selepas beliau diarah duduk di tempat penonton ketika Manchester United seri 1-1 dengan West Ham, Ahad lalu.

Ia kali ketiga musim ini pengendali dari Portugal berusia 53 tahun itu didakwa FA Inggeris – beliau pernah digantung dan didenda selepas bertelagah dengan pengadil Mark Clattenburg selain turut didenda agak berat kerana mengkritik pelantikan pengadil perlawanan.

Kali ini, beliau mungkin digantung selepas pengadil Jonathan Moss mengarahkan beliau duduk di tempat penonton pada perlawanan Liga Perdana di Old Trafford.

Mourinho diarah meninggalkan tepi padang pada babak pertama kerana menendang botol air gara-gara berang apabila Moss melayangkan kad kuning kepada Paul Pogba yang didapati sengaja menjatuhkan badan.

“Jose Mourinho didakwa selepas insiden perlawanan Manchester United dengan West Ham United, Ahad lalu,” kata FA dalam laman Twitter.

“Ia berkaitan dengan kelakuannya pada minit ke-27 dan ia adalah satu salah laku.

“Beliau mempunyai tempoh hingga jam 6 petang, 1 Disember 2016 untuk menjawab tuduhan ini.”

Ia bukan kali pertama Mourinho berselisih faham dengan Moss.

Musim lalu, ketika mengendalikan Chelsea, Mourinho pernah bertelagah dengan pegawai sama dalam satu perlawanan menentang West Ham dan beliau dikenakan hukuman gantung satu perlawanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 7:50 AM