VARDY (kiri) menuding jari ke arah Moss selepas diayangkan kad kuning kedua.
VARDY (kiri) menuding jari ke arah Moss selepas diayangkan kad kuning kedua.
AFP

London: Jamie Vardy didakwa kerana salah laku selepas penyerang Leicester itu berang dilayangkan kad merah ketika menentang West Ham, umum Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris, kelmarin.

Vardy dibuang padang oleh pengadil Jon Moss selepas meraih kad kuning kedua kerana sengaja menjatuhkan badan dalam usaha memenangi sepakan penalti pada babak kedua ketika seri 2-2 di Stadium King Power, Ahad lalu.

Pemain kebangsaan England itu dilihat sengaja menyelitkan kakinya di antara dua kaki pemain West Ham Angelo Ogbonna sebelum menjatuhkan badan ke padang dan apabila Moss melayangkan kad merah, Vardy bertindak dengan menuding jari serta menjerit ke arah pegawai perlawanan itu.

Leicester turut didakwa selepas pemain mereka membantah keras mengenai sepakan penalti yang diberikan kepada West Ham apabila Wes Morgan mengasari Winston Reid.

Vardy akan menjalani penggantungan satu perlawanan bagi aksi laman sendiri menentang Swansea Ahad ini, namun penggantungan itu mungkin dilanjutkan jika dia didapati bersalah dengan pertuduhan itu.

Ia pasti satu tamparan hebat kerana pendahulu Liga Perdana Leicester hanya berbaki empat perlawanan ketika mereka berusaha mengekalkan kedudukan di puncak sekali gus memenangi kejuaraan Inggeris buat julung kali.

Penyerang Chelsea Diego Costa dibuang padang menentang Everton baru-baru ini dan menjalani penggantungan tambahan satu perlawanan selepas mengakui bersalah terhadap pertuduhan FA berikutan pertembungan dengan Gareth Barry serta memaki hamun pengadil selepas dibuang padang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 7:26 AM