London: Pengurus Chelsea Jose Mourinho (gambar) dikenakan hukuman penggantungan stadium untuk satu perlawanan selain denda £40,000 (RM264,000) selepas mengaku salah atas tuduhan berkelakuan buruk, kata Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris, kelmarin.

Tuduhan itu dikenakan selepas salah laku Mourinho terhadap pengadil Jon Moss ketika kekalahan 1-2 Chelsea di tangan West Ham United sekali gus menyaksikan beliau diarah duduk di tempat penonton. Hukuman itu bermakna beliau akan terlepas aksi menentang Stoke City di tempat lawan, Sabtu ini.

“Selepas Jawatankuasa Peraturan Bebas bersidang hari ini, Jose Mourinho dijatuhkan hukuman penggantungan stadium untuk satu perlawanan berkuat kuasa serta-merta dan dikenakan denda,” kata FA dalam satu kenyataan.

“Pengurus Chelsea itu mengaku salah atas tuduhan yang dikenakan FA berhubung bahasa/kelakuan terhadap pegawai perlawanan dalam atau di sekitar bilik persalinan pegawai ketika rehat perlawanan menentang West Ham United pada 24 Oktober 2015.”

Hukuman itu menambah masalah yang sedang dihadapi Mourinho ketika kedudukannya bersama pasukan itu masih terumbang-ambing selepas anak buahnya terdampar di tangga ke-15 Liga Perdana gara-gara tewas enam kali sepanjang 11 perlawanan.

Laporan turut mendakwa bekas doktor pasukan, Eva Carneiro merancang untuk menyaman Mourinho yang disifatkan sebagai punca mengapa beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 7:44 AM