Reuters

London: Pemain Chelsea tetap memberikan komitmen 100 peratus walaupun pengurus Jose Mourinho sedang berdepan masalah, kata pemain tengah John Obi Mikel sambil menambah juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu hanya memerlukan sedikit tuah untuk mengubah nasib mereka.

Kekalahan 1-3 di laman sendiri kepada Liverpool melengkapkan tujuh hari penuh duka buat Blues yang tewas di tangan West Ham United pada saingan liga minggu sebelumnya selain tersingkir daripada kempen Piala Liga gara-gara kecundang menerusi penentuan penalti kepada Stoke City.

Mourinho yang menandatangani kontrak empat tahun Ogos lalu, mengetuai anak buahnya ketika merangkul gelaran juara berganda musim lalu apabila menang Piala Liga dan Liga Perdana.

Begitupun, dengan 11 mata hasil 11 perlawanan musim ini, Chelsea terdampar di tangga ke-15 liga, 10 mata di belakang pasukan di tangga keempat, Manchester United.

Kekalahan keenam liga Sabtu lalu bermakna Chelsea tewas dua kali ganda lebih banyak berbanding apa yang mereka catat musim lalu dan statistik itu diburukkan lagi dengan hanya satu kemenangan sepanjang lapan perlawanan bagi semua pertandingan.

Masalah yang dialami Mourinho bukan setakat di atas padang saja malah pengendali berusia 52 tahun itu turut dikenakan denda oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris gara-gara diarah duduk di tempat penonton ketika anak buahnya tewas kepada West Ham dan ketika ini beliau sedang dalam proses merayu atas denda yang dikenakan kerana mengkritik pengadil.

Ketika masa depannya selaku pengurus Blues masih tidak menentu, Mikel meluahkan sokongannya terhadap Mourinho dan yakin pengendali itu adalah individu paling tepat untuk mengubah keadaan.

“Gol dan kemenangan masih belum tiba tapi anda boleh lihat kami bermain untuk pengurus dan kami akan terus menyokong beliau. Perkara itu tidak boleh dinafikan. Jika ada sesiapa yang mampu mengubah keadaan ini, individu itu pastilah beliau sendiri,” kata Mikel.

“Jika anda kata pemain tidak memberikan komitmen 100 peratus, pasti wujud keraguan kerana komitmen kami tidak pernah berkurangan. Kami bermain untuk beliau dan kami sentiasa menyokong beliau.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 8:06 AM