HAZARD (kanan) jaring gol tunggal Chelsea.
HAZARD (kanan) jaring gol tunggal Chelsea.
AFP

London: Berita malang kecederaan menimpa pemain tengah Nemanja Matic tidak dapat membayangi kemenangan ke atas West Ham United yang membantu Chelsea kekal lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris.

Pengurus Chelsea, Jose Mourinho mendedahkan pemain tengah Serbia itu cedera buku lali ketika meraikan kemenangan di padang berikutan kejayaan pada final Piala Liga ke atas Tottenham Hotspur, Ahad lalu.

Matic diketepikan ketika menang 1-0 ke atas West Ham awal pagi semalam dan dia menjalani penggantungan perlawanan terakhir daripada dua penggantungan yang memaksanya terlepas aksi kemenangan ke atas Spurs.

Namun tatkala pemain Serbia itu mengalami kecederaan selepas menyertai rakan sepasukannya di padang Wembley ketika mereka mengarak trofi, Mourinho berkata, dia mungkin terlepas kunjungan ke West Ham walaupun tidak digantung.

Matic kini mempunyai enam hari untuk pulih bagi perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain, sekalipun pengurusnya menjangkakan dia akan cergas berdepan pasukan Ligue 1 itu.

“Matic cedera dan dia mengalami kecederaan itu ketika meraikan kejayaan Piala Liga,” kata Mourinho. “Saya bukan bergurau. Ia bukannya kecederaan besar tapi hari ini dia mungkin tidak boleh bermain.

“Dia terseliuh buku lali. Jika tidak digantung sekalipun, dia tidak boleh bermain hari ini.”

Mourinho berkata: “Dia akan beraksi menentang Paris. Dia akan turun menjalani latihan Sabtu atau Ahad ini.”

Tandukan Eden Hazard pada minit ke-22 membantu kemenangan itu yang mengekalkan Chelsea lima mata di puncak Liga Perdana, selepas beraksi kurang satu perlawanan berbanding Manchester City.

Sesudah menyaksikan pasukannya terselamat daripada asakan dan tekanan West Ham, Mourinho berkata ia satu perlawanan yang membuktikan ketangkasan dan keazaman tinggi pemainnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 9:51 AM