ROONEY mahu ledak lebih banyak gol bagi memastikan United muncul juara musim ini.
ROONEY mahu ledak lebih banyak gol bagi memastikan United muncul juara musim ini.

Wayne Rooney (gambar) mencabar dirinya untuk menjaringkan lebih banyak gol sekali gus membantu Manchester United menjulang Liga Perdana Inggeris musim ini selepas percaya masanya selaku pemain sokongan sudah berlalu.

Kehadiran dua pemain tengah baru yang membolehkan dia menumpukan perhatian di bahagian depan menambahkan lagi keyakinannya untuk melaksanakan semua perancangan Louis van Gaal musim ini.

Ketika Bastian Schweinsteiger serta Morgan Schneiderlin memberikan United pengalaman, tenaga dan kualiti di bahagian tengah pasukan, Rooney pula dipertanggungjawabkan oleh Van Gaal untuk merobek gawang lawan menerusi formasi 4-3-3 dan dia kini bergelar penyerang utama, setanding dengan posisi yang dimainkan Diego Costa dan Sergio Ag¸ero.

Di sebalik kegagalannya untuk menghasilkan ba­nyak gol buat United musim lalu, Rooney akan diberi mandat besar untuk mencari kemenangan menerusi jaringan sepanjang kempen kali ini dan penyerang berusia 29 tahun itu tegas mengatakan walaupun dia banyak beraksi di bahagian tengah sebelum ini, sentuhannya masih belum pudar.

“Posisi terbaik saya seperti yang selalu saya katakan sebelum ini ialah sebagai penyerang, di dalam kotak penalti,” kata Rooney. “Sepanjang dua musim bermain selaku penyerang utama, saya meledak jaringan tercantik sepanjang karier saya. Pengurus dan saya sendiri sedar apakah kemampuan sebenar saya.

“Saya harap dapat membuktikan kebolehan dan membalas kepercayaan pengurus tetapi sudah tentu ada tekanan yang perlu saya atasi. Begitupun, saya yakin mampu meledak lebih 20 gol musim ini dan saya sedia untuk merobek gawang lawan. Jika saya bermain di bahagian atas, sudah tentu saya akan buktikan. Itu posisi kegemaran saya.”

Seperti didakwanya, kempen paling berjaya Rooney di United ialah ketika dia beraksi selaku penyerang utama buat pasukannya. Pada musim 2009-10, dia meledak 34 gol dalam semua pertandingan selepas diberikan tanggungjawab yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo. Pada musim 2011-12, dia menghasilkan jumlah sama.

Rooney yang masih kurang 20 gol untuk memecahkan rekod jaringan terba­nyak sepanjang musim milik Sir Bobby Charlton (249 gol) tegas mengatakan bahawa dia bagaimanapun sedia untuk berkorban demi pasukan.

“Saya pernah bermain di beberapa posisi untuk United tetapi setiap kali saya diberi peluang menjadi penyerang, saya pasti menjaringkan gol,” kata Rooney.

“Adalah sesuatu yang malang jika saya gagal menjaringkan gol andai bermain di posisi serangan. Kali terakhir saya bermain selaku penyerang ialah pada musim 2011-12. Selain itu, ada kalanya saya diletakkan di bahagian tengah, sayap atau penyerang sokongan.

“Bola sepak ialah permainan berpasukan dan anda menang atau tewas sebagai satu pasukan. Sejak beberapa tahun lalu, kami berjaya dan menang beberapa gelaran. Kami sudah memenuhi kehendak pasukan. Tidak kira di posisi mana sekalipun saya diturunkan, saya sedia untuk melakukannya dan kami mahu berjaya sebagai pasukan.

“Jika pengurus mahu saya bermain di posisi lain, saya akan akur tetapi dengan beberapa pemain baru yang di bawa masuk, tidak ada sebab mengapa saya perlu berada di posisi tengah atau tepi.”

Selepas dua musim ketandusan piala, tekanan pastinya semakin memuncak buat Rooney dan United.

Van Gaal perlu kembali mencari kejayaan buat United selepas membelanjakan banyak wang untuk membeli pemain. Schweinsteiger dan Schneiderlin melonjakkan semangat bahagian tengah, Memphis Depay menambah sengat bahagian depan manakala pertahanan Itali Matteo Darmian pula me­nyelesaikan masalah di bahagian pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 1:45 PM