PEMAIN United pasang strategi jerat CSKA.
PEMAIN United pasang strategi jerat CSKA.
AFP

London: Manchester United yang dilihat sukar meledak gol bakal berdepan CSKA Moscow di Old Trafford pada kempen Liga Juara-Juara awal pagi esok dan mahu menjadikan saingan itu sebagai penamat kepada kemarau jaringan yang sudah menjangkau 295 minit.

Sejak tandukan terbang Anthony Martial membolehkan United seri 1-1 di Moscow dua minggu lalu, skuad kendalian Louis van Gaal itu sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Manchester City, Middlesbrough (dalam aksi Piala Liga) dan Crystal Palace.

Ia adalah kali pertama sejak 2005 menyaksikan United mengharungi tiga perlawanan tanpa menjaringkan gol di mana Van Gaal mengaku ia adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian dan Morgan Schneiderlin menggesa rakan sepasukan supaya tidak membiarkan isu itu berlarutan hingga menjadi masalah besar.

“Memang kecewa apabila anda tidak menjaringkan gol,” kata pemain tengah itu kepada MUTV.

“Kami mempunyai pemain yang mampu meledak jaringan dan kami akan melakukannya. Ia bukan sesuatu yang merisaukan saya. Kami mempunyai peluang dan ada kalanya ia hanya memerlukan masa untuk menjadikan ia sebagai realiti.

“Ia pasti tiba asalkan kami terus percaya. Kami akan mengekalkan rekod bersih, itu bukan satu masalah dan kami akan memenangi perlawanan tetapi kami perlu pastikan ia hadir secepat mungkin.”

Keputusan seri tanpa jaringan terbaru yang dihadapi United ialah ketika mereka diikat Palace di Selhurst Park, Sabtu lalu di mana pelawat hanya berjaya melakukan satu cubaan tepat ke sasaran.

Kemarau jaringan United berkait rapat dengan keputusan Van Gaal untuk mengubah posisi Martial - Pemain Terbaik Bulan September Liga Perdana Inggeris - ke sayap kiri dan menjadikan Wayne Rooney sebagai penyerang tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 8:11 AM