Jude Bellingham (tengah) diasak dua pemain Serbia. FOTO Agensi
Jude Bellingham (tengah) diasak dua pemain Serbia. FOTO Agensi
Reuters

Blankenhain, Jerman: Ketika peminat bola sepak England menganggap aksi berdepan Slovakia di peringkat 16 terbaik mudah, pandangan berbeza disuarakan tonggak tengah pasukan, Jude Bellingham.

Bintang bola sepak England itu sebaliknya memberi amaran bahawa Slovakia mampu membuat kejutan seperti mana kemenangan ke atas Belgium dalam peringkat kumpulan sebelum ini.

Untuk rekod, England menamatkan saingan Kumpulan C di tempat pertama dan skuad The Three Lions itu diundi bertemu Slovakia yang mengakhiri kempen Kumpulan E di tangga ketiga.

"Ramai melihat undian menentang Slovakia sebagai laluan yang mudah, tetapi saya tidak fikir begitu. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Slovakia akan beri tentangan sengit di mana mereka juga mahukan kemenangan. Jika kami mengambil mudah, ia akan mengundang bahaya buat kami.

"Saya fikir apabila menentang pasukan yang mengamalkan corak menyerang, kami perlu lebih tenang. Tiada lagi lawan mudah di fasa ini, dan ia bermula dengan menentang Slovakia," katanya.

Bellingham menambah, kekalahan Portugal di tangan Georgia adalah contoh terbaik di mana perkara sama boleh berlaku sekiranya England memandang mudah tentangan Slovakia.

Terdahulu, Georgia mengejutkan Portugal dalam aksi terakhir Kumpulan F apabila menang 2-0 sekali gus mara ke pusingan kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:43 AM