Birmingham: Michael Carrick menyanjung Antonio Valencia (gambar) sebagai kunci utama kebangkitan Manchester United dalam Liga Perdana akhir-akhir ini.

Pasukan kendalian Louis van Gaal berkunjung ke Aston Villa malam ini, mengintai peluang melakar kemenangan keenam berturut-turut yang menyaksikan mereka melonjak ke tangga ketiga carta.

Persembahan baik United hadir sekalipun Van Gaal sering melakukan rombakan dalam pasukannya berikutan kecederaan dialami beberapa pemain bintang.

Ketika penyerang Wayne Rooney, Robin van Persie dan Juan Mata dipuji kerana menjaringkan beberapa gol kemenangan baru-baru ini, pemain tengah United Carrick percaya Valencia, pemain sayap Ecuador berhak disanjung sekalipun beraksi di posisi bukan kebiasaannya, pertahanan kanan.

“Antonio seorang atlet sejati, dia amat penting,” kata Carrick.

“Usaha kerasnya tidak disedari seperti membawa bola ke atas dari jarak atau 40 ela ketika anda bertahan.

“Pertahanan lain akan membiarkannya kerana mereka tahu kepantasan dimilikinya.

“Jika dia melarikan bola di bahagian sayap, dia sukar dibendung. Dia seorang pemain pasukan yang hebat dan apabila bermain dengannya, anda pastinya bertuah dia berada dalam pasukan anda.”

Valencia bermula dalam 10 daripada 16 perlawanan liga United musim ini dengan kecederaan dialami Rafael Oktober lalu bermakna dia akan beraksi di pertahanan kanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:07 AM