BARISAN pemain Jerman. FOTO DFB/GES-Sportfoto
BARISAN pemain Jerman. FOTO DFB/GES-Sportfoto
Reuters

Dortmund, Jerman: Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann berdepan tugas sukar pada saingan kalah mati apabila perlu memilih kesebelasan terbaik untuk berdepan Denmark di Dortmund, Ahad ini.

Selepas mengharungi saingan peringkat kumpulan dengan cemerlang, jutaan peminat bola sepak Jerman mula meletakkan harapan tinggi untuk melihat anak buah Nagelsmann menjuarai kempen kali ini, lebih istimewa ia dilakukan di depan penyokong sendiri.

Dengan prestasi Kai Havertz yang memuncak dalam tiga aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Nagelsmann pastinya tidak boleh menolak tepi Niclas Fuellkrug yang berjaya meledak beberapa gol biarpun dimasukkan sebagai pemain gantian.

"Saya tidak boleh bayangkan jika Havertz tidak menjadi pilihan dalam aksi dengan Denmark. Tetapi Fuellkrug juga mula menunjukkan taringnya.

"Namun saya fikir Havertz lebih sesuai memulakan aksi selaku pemain nombor 9 untuk perlawanan itu," kata Olaf Thon yang juga bekas pemain kebangsaan Jerman itu.

Thon berkata demikian ketika menjadi pengulas sebuah syarikat penyiaran Jerman Sport1.

Jerman mara ke pusingan kalah mati selepas menjuarai Kumpulan A dengan merakam dua kemenangan dan satu seri untuk mengumpul tujuh mata.

Kali terakhir Jerman menjuarai saingan Euro adalah pada tahun 1996 yang berlangsung di England, dan kini berpeluang memenanginya buat kali keempat di bumi sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 10:46 PM