SEKITAR majlis perasmian Liga Komuniti Negeri Sembilan A3 Super League 2024 pada hujung minggu lalu. FOTO FB Super Football League
SEKITAR majlis perasmian Liga Komuniti Negeri Sembilan A3 Super League 2024 pada hujung minggu lalu. FOTO FB Super Football League
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Komuniti Negeri Sembilan A3 Super League 2024 membuka tirainya hujung minggu lalu dan ia mendapat sambutan hangat.

Pengerusi Super Football League, Muhd Razali Omar Othnan berkata, bilangan pasukan menyertai saingan itu amat menggalakkan dengan 10 pasukan bakal berentap memburu kejuaraan.

"Alhamdulillah, saingan komuniti Negeri Sembilan A3 Super League 2024 dilancarkan dengan jayanya dan pertandingan ini akan membabitkan pasukan di sekitar Negeri Sembilan.

"Ini adalah kejohanan kedua liga komuniti selepas di negeri Melaka yang turut mendapat sambutan hangat peminat bola sepak di negeri itu.

"Matlamat Super Football League hanya satu, iaitu untuk membantu AFL (Liga Bolasepak Amatur) bagi merancakkan lagi budaya bola sepak di peringkat negeri selain membantu ke arah profesional babitkan kelab-kelab amatur dalam liga A3," katanya.

Untuk rekod, 10 pasukan bertanding di Liga Komuniti Negeri Sembilan A3 adalah IPGMKRM FC, Perantau United FC, 24 Warrior FC, Lukut Brothers FC, Real Mambau FC II, Ayrish FC, XV Blitz, KYNS, FC Mont 05 dan UiTM NS FC.

Pada aksi pembukaan hujung minggu lalu, pasukan 24 Warrior FC terikat 1-1 dengan XV Blitz, di mana Mohd Taufik meledak gol buat 24 Warrior FC dan Firdaus menjaringkan gol untuk XV Blitz.

Saingan liga ini akan berlangsung secara round robin dan empat pasukan terbaik akan mara ke separuh akhir sebelum pemenang berentap di pentas final bagi merebut kejuaraan dengan aksi final dijadual pada 12 Oktober depan.

Juara akan meraih RM6,000 beserta trofi dan voucher set jersi, manakala naib juara RM3,000 diikuti tempat ketiga RM1,500 dan keempat RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 1:45 AM