GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan bekas ketua pegawai kewangan dan bekas ketua pegawai operasi syarikat berkaitan hartanah selepas disyaki mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran palsu bernilai kira-kira RM100,000.

Sumber SPRM berkata kedua-dua mereka, seorang wanita dan seorang lelaki lingkungan 30-an ditahan pada 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki mengemukakan 42 dokumen tuntutan pembayaran palsu yang menyebabkan kerugian kepada syarikat sedangkan tiada pembekalan barangan atau kerja-kerja telah dilaksanakan.

"Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari Januari 2021 hingga April 2022 dan menerima kesemua bayaran secara pindahan ke akaun bank milik mereka (suspek)," katanya.

Menurut sumber lagi kedua-dua suspek direman tiga hari hingga 29 Jun ini berdasarkan permohonan SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 10:59 PM