AFP

London: Manchester United membuka tirai musim baru Liga Perdana Inggeris di laman sendiri menentang Tottenham Hotspur malam ini dengan keyakinan baru mampu memberikan cabaran bermakna terhadap kejuaraan milik Chelsea.

Perlawanan di gelanggang sama musim lalu, kemenangan 3-0 pada 15 Mac lalu, terbukti menjadi pemangkin bagi memastikan Louis van Gaal menamatkan musim sulungnya sebagai pengurus dengan membantu United kembali ke kancah Liga Juara-Juara.

Namun dengan £77 juta (RM468 juta) sudah dibelanjakan membeli pemain baru termasuk Memphis Depay, Morgan Schneiderlin dan Bastian Schweinsteiger, United membuat sasaran agak tinggi sedikit.

“Musim lalu anda boleh lihat kami semakin bagus tapi kami perlukan persembahan lebih konsisten dan sudah tentu selepas itu, keputusan yang diraih,” kata kapten Wayne Rooney.

“Tapi kami boleh lihat setiap perlawanan kami semakin meningkat. Saya berasa buat kali pertama musim ini, berbanding dua musim terakhir, kami akhirnya bersedia untuk mencabar semula.”

Perlawanan awal di Old Trafford malam ini akan memberi peluang kepada penyokong United idea mengenai formasi pasukan mereka musim ini dengan Rooney dijangka mengetuai serangan sebagai penyerang tunggal dalam formasi 4-3-3.

Tottenham berakhir di tangga keenam musim lalu, enam mata di belakang United di tangga keempat dan berharap mampu memburu tiket ke Liga Juara-Juara sekalipun kurang aktif dalam pasaran perpindahan pemain.

Benteng pertahanan Spurs dirangsang dengan kehadiran Toby Alderweireld, Kevin Wimmer dan Kieran Trippier, namun di bahagian serangan, Harry Kane tertekan untuk mengulangi pencapaian menakjubkan apabila menyumbat 31 gol dalam semua pertandingan musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:12 AM