Agensi

London: Manchester United mempersiapkan diri memulakan aksi musim baru dengan hanya Wayne Rooney (gambar) sebagai penyerang senior berwibawa.

Louis van Gaal membuat keputusan menjual Robin van Persie kepada Fenerbahce dan tidak mengikat Radamel Falcao sebagai pemain tetap selepas dipinjam dari AS Monaco musim lalu.

Ini bermakna pengurus United itu hanya mempunyai Rooney, penyerang muda James Wilson yang belum terbukti kemampuannya dan Javier Hernandez yang dipinjamkan ke Real Madrid musim lalu.

United sebelum ini dikaitkan dengan beberapa penyerang termasuk Robert Lewandowski (Bayern Munich), Harry Kane (Tottenham Hotspur) dan Edinson Cavani (Paris St Germain).

Bagaimanapun, difahamkan United tidak berminat mendapatkan penyerang baru sebelum pasaran perpindahan ditutup 2 September ini.

Rooney beberapa kali beraksi di bahagian tengah musim lalu, namun Van Gaal mahu menggunakan ketua pasukannya itu sebagai penyerang tengah dalam formasi 4-3-3 musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu diletakkan sebagai penyerang tunggal pada perlawanan pramusim menentang Club America di Seattle dan dia dijangka akan kekal di posisi itu musim ini.

Biarpun jika Rooney cedera sebelum jendela perpindahan ditutup, sumber kelab itu menegaskan Van Gaal tidak akan berusaha mencari penyerang baru.

Van Gaal dilihat yakin mengenai jumlah jaringan yang akan dilakukan pasukannya.

Pengurus United itu kagum dengan teknik rembatan dan sepakan percuma Memphis Depay, jadi beliau percaya pemain sayap bernilai £25 juta (RM148 juta) itu mampu mengulangi prestasi sama apabila menjaringkan 22 gol untuk PSV Eindhoven musim lalu.

Depay mempamerkan aksi meyakinkan ketika bergandingan dengan Rooney apabila mereka menang 1-0 ke atas Club America di CenturyLink Field.

“Wayne banyak mengajar saya ketika perlawanan itu dan berbincang mengenai posisi yang perlu saya berada serta bila untuk bertahan.

“Kami harus bergandingan dan saya mempunyai persefahaman dengannya. Ia satu penghormatan bergandingan bersama legenda seperti Wazza,” kata pemain kelahiran Belanda itu.

Ramai juga beranggapan Hernandez dijangka menyerlah bersama United menjelang musim baru ini walaupun dia agak tenggelam di Real Madrid musim lalu.

“Dia berpeluang membuktikan kemampuannya sekali lagi dan kini Falcao dan Van Persie sudah tiada, peluangnya sangat cerah,” kata pengurus United itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 8:28 AM