AFIQ Danish rangkul pingat emas dalam acara judo bawah 90kg, hari ini. FOTO SUKAN IPT
AFIQ Danish rangkul pingat emas dalam acara judo bawah 90kg, hari ini. FOTO SUKAN IPT
Syafiq Aznan


Surabaya: Sambutan ulang tahun kelahiran ke-21 buat atlet judo negara, Afiq Danish Zapri nyata lebih manis apabila mendapatkan 'hadiah terbaik' menerusi pingat emas dalam acara judo bawah 90 kilogram (kg) lelaki di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024.

Penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menyambut hari lahirnya, semalam dan hari ini, dia menumbangkan atlet tuan rumah yang juga pemenang pingat gangsa Kejuaraan Judo Asean 2024, Mayza Tyas Nugraha pada aksi final di Pusat Konvensyen Airlangga.

Mengakui gementar pada aksi final apatah lagi seterunya itu mendapat sokongan padu tuan rumah, Afiq berjaya menahan asakan Mayza untuk membutirkan pingat emas kedua dari sukan judo pada AUG kali ini.

"Saya cuba kawal perasaan dan gunakan pengalaman sebelum ini untuk mengawal gementar.

"Saya jangka dapat tumbangkan lawan lebih awal, tetapi dia juga kuat dan berpengalaman dan ini kali pertama kami bertemu.

"Saya cuba mencari kesalahannya dan saya dapat satu mata sebelum terus bertahan sehingga minit akhir. Ini adalah hadiah hari lahir yang amat bermakna buat saya kerana berjaya mendapat pingat emas di AUG," katanya.

Rentak cemerlang Afiq Danish diteruskan Amir Danial Abdul Majeed yang merangkul pingat emas dalam acara bawah 81kg selepas menumbangkan satu lagi atlet tuan rumah, Yuta Gladius Taslim.

Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Sea 2023 itu tidak berdepan masalah meraih 'ippon' ke atas Yuta, sekali gus menamatkan perlawanan dalam tempoh 40 saat.

Terdahulu, skuad judo negara meraih pingat emas pertama negara di AUG 2024 menerusi Nur Farah izzati Wallah yang mengungguli kategori bawah 52kg selepas mengecewakan atlet tuan rumah yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, Maryam March Maharani, semalam.

Secara keseluruhan selepas hari kedua acara judo berlangsung, skuad judo negara sudah menghimpun tiga pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 10:12 PM