Manchester: Pengurus Manchester United Louis van Gaal akan menjadikan pembelian pemain tengah kreatif sebagai keutamaannya pada musim panas ini.

Van Gaal sudah berbelanja lebih £150 juta (RM826 juta) terhadap tujuh pemain baru sejak mengambil alih di Manchester United tujuh bulan lalu namun beliau masih tidak gembira dengan skuadnya.

Angel di Maria, Daley Blind dan Ander Herrera bernilai lebih dua pertiga daripada perbelanjaan pembelian pemain United tahun lalu namun Van Gaal berasa beliau kekurangan pemain tengah dinamik.

Kekurangan aspek itu dalam skuad semasa United menyebabkan pengendali dari Belanda itu menggunakan khidmat penyerang Wayne Rooney di bahagian tengah.

Ketika Rooney gembira bermain di tengah, menurut Van Gaal, ada pendapat menyatakan kapten England itu hanya bermain sementara di posisi itu hingga calon lebih sesuai ditemui.

Ditanya sama ada beliau menurunkan Rooney di tengah kerana berasa tiada siapa mampu memenuhi peranan di posisi itu, Van Gaal berkata: “Sudah tentu. Saya mencari keseimbangan dan saya perlukan Rooney di bahagian tengah.

“Pada aksi terakhir saya menurunkan Adnan Januzaj dan di Maria di posisi tengah. Maka anda perlu satu keseimbangan bagi pemain kreatif ini.

“Apabila mempunyai pemain kreatif ini dan (Radamel) Falcao dan Robin van Persie turut kreatif, maka anda mempunyai empat pemain kreatif. Sebab itu saya perlu melihat keseimbangan dalam pasukan.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:07 AM