Newcastle: Kapten Manchester United Wayne Rooney menegaskan kunjungan ke Newcastle awal pagi esok menandakan permulaan tempoh yang mungkin menentukan kedudukan kelab itu musim ini.

Red Devils bertandang ke St James’ Park dengan harapan kekal dalam kelompok empat teratas ketika mereka berusaha meraih tiket ke Liga Juara-Juara sekali lagi.

Selepas kunjungan ke timur laut, anak buah Louis van Gaal akan bertemu Arsenal pada suku akhir Piala FA sebelum perlawanan liga menentang Tottenham dan Liverpool, dua pasukan yang turut mengintai kelompok empat teratas.

“Ia permulaan tiga minggu penting buat kami,” kata Rooney. “Kami bertindak OK dalam perlawanan besar tahun ini, kami boleh bertindak lebih baik, tapi ia memang mengujakan kami berdepan perlawanan besar sebegini.

‘‘Kami tidak boleh fikirkan selepas Rabu (awal pagi esok). Menentang Newcastle di gelanggang mereka sering memberi cabaran sengit dan kami perlu cuba pastikan pulang dengan tiga mata.”

Banyak diperkatakan mengenai bagaimana Rooney digunakan Van Gaal musim ini. Jurulatih Belanda itu sering memilih menggunakan pemain berusia 29 tahun itu di tengah di sebalik posisi biasanya sebagai penyerang tengah.

Rooney bermain sebagai penyerang Sabtu lalu dan membalas kepercayaan pengurus dengan dua gol ketika menang selesa 2-0 ke atas Sunderland.

Dua gol itu membolehkan Rooney mengumpul 11 jaringan musim ini dan melonjakkannya satu gol di depan rakan serangan Robin van Persie. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:07 AM