JURULATIH England, Gareth Southgate (paling kiri) dikecam teruk oleh peminat susulan aksi longlai pada kempen Euro 2024. FOTO Agensi
JURULATIH England, Gareth Southgate (paling kiri) dikecam teruk oleh peminat susulan aksi longlai pada kempen Euro 2024. FOTO Agensi
AFP

Berlin, Jerman: Pertahanan England, Marc Guehi mempertahankan jurulatihnya, Gareth Southgate yang dikecam teruk susulan keputusan seri tanpa jaringan dengan Slovenia pada aksi terakhir Kumpulan C.

Skuad The Three Lions itu layak ke pusingan kalah mati selepas muncul juara kumpulan dengan hanya meledak dua gol dan akan bertemu Slovakia di Gelsenkirchen, Ahad ini.

Jelas Guehi yang juga tonggak pertahanan Crystal Palace itu, Southgate seorang jurulatih yang tepat untuk membimbing England, dan semua pemain berada di belakangnya.

"Kami semua di belakang jurulatih dan hubungan kami antara pemain dan beliau cukup rapat.

"Jika anda melihat semula rekodnya sejak membimbing pasukan, anda akan lihat beliau sebenarnya jurulatih yang berjaya dalam usaha mengubah wajah pasukan," katanya.

Di bawah kendalian Southgate, beliau berjaya membawa England mara hingga ke separuh akhir Piala Dunia 2018 sebelum tumbang di tangan Croatia.

Beliau hampir menghadiahkan trofi buat England apabila mara ke final Euro 2020 namun terpaksa akur tewas kepada Itali menerusi sepakan penalti serta melangkah hingga ke suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:01 AM