PILJ menjaringkan gol sulung ketika TFC menewaskan Perak FC pada aksi pusingan 16 terakhir Piala FA, baru-baru ini. FOTO GHAZALI KORI
PILJ menjaringkan gol sulung ketika TFC menewaskan Perak FC pada aksi pusingan 16 terakhir Piala FA, baru-baru ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas meledak gol pertamanya pada musim ini, 'arkitek' Terengganu FC (TFC), Marin Pilj mengidam jaringan seterusnya pada malam esok.

Jelas pemain kelahiran Croatia itu, aksi berdepan Sabah FC dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu menjadi peluang terbaik buatnya untuk membuktikan kemampuan.

Bagaimanapun, pemain berketinggian 1.65 meter itu sedar ia bukan tugas mudah untuk menembusi benteng pertahanan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu yang diakui 'kebal'.

"Sabah FC adalah pasukan yang baik dan lengkap di setiap posisi, malah skuad itu mempunyai beberapa pemain skuad kebangsaan.

"Saya jangkakan perlawanan begitu sukar buat kami selain pastinya sengit sebelum aksi timbal balik di tempat lawan nanti, lebih-lebih lagi beberapa pemain belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Namun saya mengharapkan kami mendapat keputusan baik apatah lagi beraksi di tempat sendiri dan pada masa sama, saya idam untuk buru jaringan seterusnya selepas gol pertama tempoh hari.

"Misi peribadi itu kurang penting berbanding wajib menang untuk mengintai peluang mara ke separuh akhir, sekali gus mengulangi pencapaian pada musim lalu," katanya yang mengharapkan penyokong TFC terus membanjiri stadium, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 9:59 PM