BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 14,490 kes penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian melebihi RM581 juta direkodkan bagi tempoh Januari hingga 15 Jun lalu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M.Kulasegaran.

Beliau berkata kes penipuan dalam talian itu melibatkan jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, love scam, jenayah e-dagang, pinjaman serta pelaburan tidak wujud.

"Pada 2022, jumlah kes yang direkodkan adalah sebanyak 25,479 kes manakala 34,495 kes pada 2023. Jumlah kerugian adalah lebih RM851 juta pada 2022 dan lebih RM1 bilion pada 2023," katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata sehingga Mei lepas, sebanyak 7,960 tangkapan telah dibuat membabitkan 5,933 pertuduhan di mahkamah.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dari Januari hingga Mei tahun ini turut mengadakan 3,689 program cegah jenayah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.

Kulasegaran berkata bagi mengatasi jenayah scam, kerajaan merancang untuk meminda beberapa undang-undang sedia ada bagi membolehkan pelaku didakwa di mahkamah dengan lebih efektif dan usaha itu kini berada di peringkat akhir libat urus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 10:04 PM
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA