(Dari kiri) Juara wanita, Mirabel, juara lelaki, Ben Leong dan pemenang anugerah pemain amatur terbaik, Hayden Hah.
(Dari kiri) Juara wanita, Mirabel, juara lelaki, Ben Leong dan pemenang anugerah pemain amatur terbaik, Hayden Hah.
BERNAMA

Sibu: Bintang veteran Ben Leong berjaya mengekalkan ketenangan berdepan cabaran sengit Edven Ying dan Daeng Rahman untuk memenangi Kejuaraan Golf Jelajah Toyota pertamanya di Kelab Golf Sibu di sini hari ini.

Leong membawa hadiah Piala Fortuner dengan merangkul kejuaraan selepas mengatasi kedua-dua pencabar dengan empat pukulan pada saingan tiga pusingan.

Pada pusingan penentuan, Leong merakamkan lima bawah par 65 selepas melakukan 63 dan 66 masing-masing pada pusingan pertama dan kedua untuk mengumpul sejumlah 16 bawah par 194.

Daeng, juara Piala Alphard di Forest City, Johor dan Edven, juara Piala Vious di Kelab Golf Templer Park pada 2023 yang mengekori rapat sejak pusingan pertama masing-masing mengumpul 12 bawah par 198.

"Saya cukup teruja selepas akhirnya menang para siri Jelajah Toyota," kata Leong yang akan kembali ke Jelajah Asia pada penghujung Ogos dengan penyertaan di Indonesia, Taiwan dan China.

Sementara itu, pemain amatur kelahiran Miri, Mirabel Ting merangkul kejuaraan wanita buat pertama kali apabila melakarkan lima bawah par 65 di pusingan ketiga untuk mengumpul jumlah catatan lima bawah par 205.

Tempat kedua menjadi milik Geraldine Wong dengan 216 pukulan diikuti Michelle Koh di tempat ketiga dengan 220 pukulan.

Dalam pada itu, Hayden Hah dinobatkan sebagai pemain lelaki amatur terbaik apabila menamatkan saingan dengan lima bawah par 215 pukulan di tempat ke-34 daripada keseluruhan 63 peserta dari seluruh negara.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting yang mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:12 AM