NORZA (tengah) pada sidang media.
NORZA (tengah) pada sidang media.

Kuala Lumpur: Selepas lama berteka-teki, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akhirnya menetapkan 11 April untuk mendengar kes doping jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei di Amsterdam.

Mengumumkan perkara itu semalam, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, sesi pendengaran itu berlangsung di Amsterdam, Belanda dengan Chong Wei bakal ditemani beberapa individu termasuk Pengurus Besar BAM Kenny Goh.

“Kami dimaklumkan tiga panel terbabit dalam sesi perbicaraan itu. Peguam kami, Mike Morgan sudah berusaha keras melakukan persiapan untuk sesi pendengaran ini.

“BAM puas hati dengan usaha dilakukannya. Kami harap semua rakyat Malaysia yang menyokong Chong Wei bersabar dan meneruskan sokongan terhadapnya,” katanya pada sidang media.

Jelas Norza, pihaknya dimaklumkan perbicaraan itu berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

“Peguam kami akan memberikan keterangan lanjut di hadapan panel. Ada kemungkinan kita memperoleh keputusannya pada hari sama juga.

“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, kami sudah berikan bantuan terbaik untuk Chong Wei. Contohnya Morgan seorang peguam sukan yang mempunyai rekod terbaik.

“Kami juga mengambil masa panjang untuk memastikan semua persiapan sebelum perbicaraan itu berjalan dengan baik,” katanya.

Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia, kini memenuhi hukuman penggantungan oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, 30 Ogos tahun lalu.

Perbicaraan kes itu ditunda beberapa kali dalam usaha BAM mendapatkan bukti kukuh untuk membela Chong Wei.

Penggantungan yang bermula sejak November tahun lalu itu bukan saja memberi kesan terhadap ranking, malah pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu terlepas beberapa kejohanan utama seperti Seluruh England 2015.

Sepanjang tempoh penggantungan itu, Chong Wei tetap turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:30 AM