Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Detik mendebarkan buat Datuk Lee Chong Wei (gambar) bermula hari ini apabila dia bersama pengurus Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh serta peguam peribadi bertolak ke London sebelum ke Amsterdam.

Sabtu akan menjadi hari dinanti-nantikan semua peminat badminton tanah air dan seluruh dunia kerana di Amsterdam nanti perbicaraan kes doping Chong Wei akan berlangsung.

Chong Wei, Kenny serta peguam peribadi bekas pemain nombor satu dunia itu bertolak ke London awal pagi tadi untuk bertemu Mike Morgan, peguam yang terkenal dengan kepakaran mengendalikan kes membabitkan atlet sukan tersohor.

“Ketika berada di London kami akan melihat kes ini dengan lebih mendalam. Jumaat baru kami bertolak ke Amsterdam untuk menghadiri Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membabitkan kes Chong Wei,” katanya.

Kenny mengakui Morgan, dilantik BAM untuk mengendalikan kes ini, akan melakukan yang terbaik walaupun perbicaraan hanya berbaki seminggu lagi.

“Beliau peguam yang baik dan sudah melakukan persiapan rapi. Saya minta semua orang memberi sokongan terutama di saat-saat akhir ini sebelum perbicaraan berlangsung.

“Berilah sokongan moral dan berdoa untuk Chong Wei,” katanya yang sebelum ini turut menemani pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) untuk mengetahui keputusan Sampel B di Oslo tahun lalu.

Katanya, sepanjang dikenakan hukuman penggantungan sementara oleh BWF, Chong Wei jelas sekali membuktikan dia memang atlet bertaraf dunia.

“Dia begitu tabah, mempunyai kekuatan mental. Bukan senang untuk seseorang pemain berdepan situasi digantung selama tiga hingga empat bulan.

“Sokongan semua pihak amat menggalakkan dan membuatkan dia terus bertahan. Dengan baki seminggu sebelum perbicaraan, sokongan moral harus diberikan kepadanya,” kata Kenny.

Ditanya sama ada keputusan hukuman bakal diumumkan pada hari perbicaraan (Sabtu), Kenny belum pasti kerana semuanya bergantung kepada BWF.

Chong Wei sebelum ini didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone ketika beraksi di Kejohanan Dunia, Copenhagen Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:43 AM