SEMUA ‘cerita kecemasan’ itu direka dan adegan bilik pembedahan dilakonkan di rumahnya. FOTO Agensi
SEMUA ‘cerita kecemasan’ itu direka dan adegan bilik pembedahan dilakonkan di rumahnya. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Akaun media sosial seorang pempengaruh yang juga doktor di China ditutup selepas kegiatannya memaparkan 'situasi kecemasan palsu di bilik pembedahan', terbongkar.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Tao, 38, dari wilayah Anhui di timur China, menggunakan nama 'Doctor Tao Telling the Truth', di dalam talian dengan menyiarkan video itu di Douyin, yang meraih 1.5 juta tontonan.

Dalam video Tao, dia memakai baju 'scrub' pembedahan dan menceritakan keadaan pesakit, perjalanan mereka ke hospital dan keadaan individu terbabit .

"Sekarang 4.34 pagi, dan orang ini meninggal dunia," kata Tao dalam salah satu videonya.

Beliau seterusnya menerangkan mengenai pembedahan itu, mendakwa pesakit itu adalah seorang lelaki berusia 32 tahun yang mengalami pendarahan otak selepas semalaman minum bersama rakan dan meninggal dunia walaupun usaha dilakukan untuk menyelamatkan individu berkenaan.

Video itu dikongsikan semula oleh banyak media di China dan menarik perhatian pasukan rasmi Douyin.

Selepas siasatan, didapati bahawa Tao adalah seorang pakar bedah plastik, tetapi pembedahan yang ditunjukkan di dalam video berkenaan, bukanlah kepakarannya.

Seorang netizen mendapati bilik bedah di dalam video Tao tidak memenuhi piawaian perubatan kerana kekurangan bekalan dan peralatan penting, yang hanya menunjukkan katil dan lampu.

Bulan lalu, ketua agensi pembedahan plastik tempat Tao bekerja mengakui kepada pihak berkuasa di wilayah Anhui bahawa semua video Tao adalah palsu.

Semua 'cerita kecemasan' itu direka dan adegan bilik pembedahan dilakonkan di rumahnya.

Menjelang akhir Mei, semua akaun Tao media sosial di Tao ditutup dan diharamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 3:03 PM