HELIKOPTER Israel mengeluarkan suar ketika terbang di Rafah. FOTO AFP
HELIKOPTER Israel mengeluarkan suar ketika terbang di Rafah. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Mereka yang masih tinggal di bandar Rafah, kini berasa terperangkap.

Pegawai Israel menyifatkan Rafah sebagai kubu terakhir Hamas di Semenanjung Gaza.

Awal bulan lalu, tentera memasuki bandar di selatan wilayah Palestin itu, mengebom kawasan berhampiran sempadan dengan Mesir dan memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri.

"Tiada lagi air atau makanan. Kami benar-benar terperangkap," kata Haitham Abu Taha.

Dia adalah segelintir rakyat Palestin yang pulang ke Rafah bersama keluarganya, selepas tentera Israel, baru-baru ini, mengumumkan jeda setiap hari di selatan.

"Ia adalah lebih baik daripada tinggal di khemah atau dengan saudara-mara kerana kami terpisah antara satu sama lain," katanya sebelum kembali ke Rafah, dan mendapati bahawa tentera Israel belum benar-benar berundur.

"Hampir tiada seorang pun yang tinggal di Rafah," kata Abu Taha sambil menambah bahawa hanya segelintir individu yang enggan meninggalkan rumah mereka.

Di atas runtuhan kota terpencil itu, penduduk Palestin berkata, Israel menerbangkan dron pada ketinggian yang dekat dengan tanah.

Abu Taha, 30, turut memberitahu mengenai bahaya dron quadcopter yang menyasarkan sesiapa di jalanan.

"Ramai orang terbunuh oleh quadcopter," kata Ismail Abu Shaar, 22, kepada AFP.

"Meriam, tembakan dan pertempuran tidak pernah berhenti," katanya.

Tentera Israel pada Isnin lalu berkata, ia meneruskan operasi sasaran berasaskan perisikan di dalam dan di sekitar Rafah, sambil menambah bahawa ia menemukan sejumlah besar senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 1:46 PM