Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi, Imran Ajmain menganggap gelaran 'sendu' atau tidak popular terhadap seseorang artis itu satu penghinaan.

Penyanyi yang dikenali dengan lagu Seribu Tahun itu berkata, seni sama ada muzik atau lakonan adalah satu cabang yang tidak ada sempadan dan tidak mempunyai batas waktu.

"Saya pernah digelar 'one hot wonder' (popular dengan satu lagu saja) sebelum ini. Saya tidak boleh terima gelaran itu kerana saya tampil dengan beberapa single selepas itu.

"Kebanyakan orang kita menganggap jika selalu dilihat di media itu adalah popular. Jika sebaliknya, kita tak tahu dia siapa dan dia adalah 'sendu'. Itu satu penghinaan sebenarnya.

"Anak seni tidak boleh dipanggil 'sendu' sebab seni itu tiada sempadan dan tiada batas waktu.

"Kalau kita tukang masak, makanan kita mungkin basi. Tapi kalau kita buat kerja seni, ia tidak ada tarikh luput dan boleh dimainkan bila-bila masa saja," katanya.

Menurut Imran, sebagai penyanyi dia sentiasa ingin menghasilkan yang terbaik buat peminat, tetapi tetap menunaikan permintaan lagu kegemaran mereka.

"Jika diikutkan saya tampil dengan beberapa single selepas Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang, namun apabila ada permintaan untuk menyanyikan lagu-lagu itu saya pasti tunaikan.

"Saya akur itu adalah lagu-lagu kegemaran yang mendapat tempat di hati peminat. Namun, tidak bermakna saya tidak menghasilkan lagu lain selepas dua lagu itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 1:52 PM