KHAW, gambar fail. FOTO NSTP
KHAW, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzi


Kuala Lumpur: Tingkatkan operasi banteras dadah di sempadan negara, itu amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Khaw Kok Chin kepada setiap ketua jabatan di bawah seliaannya.

Khaw dalam amanatnya menyeru semua ketua jabatan narkotik mengambil tanggung jawab mempertingkatkan kawalan terutama bagi kontinjen yang bersempadan dengan negara jiran.

"Pertingkatkan kawalan dan operasi membanteras dadah di sempadan bagi menghalang kemasukan dadah haram ke pasaran tempatan.

"Jangan mengambil sambil lewa terhadap aduan atau maklumat awam yang disalurkan kepada kontinjen masing-masing dan mahu tindakan segera diambil di dalam situasi ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN) Se-Malaysia yang berlangsung di Bukit Aman, di sini semalam.

Sementara itu, JSJN dalam satu hantaran di Facebook berkata, fokus utama mesyuarat berkenaan adalah mengkaji prestasi semasa setiap kontinjen serta membincangkan 'langkah ke hadapan' jabatan itu.

Katanya, ia penting dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah dan isu-isu membabitkan penyalahgunaan bahan narkotik di Malaysia.

Sebelum itu, JSJN turut menerima kunjungan daripada Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) di mana delegasi dari negara itu memberi taklimat bertajuk 'Situasi Dadah di Thailand dan Kekangan di Sempadan'.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi ), Datuk Zainuddin Ahmad dan Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan), Datuk Mohd Zaini Che Din.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 2:46 PM