Kuala Lumpur: Mungkin bukan tiga minggu tetapi lebih awal buat bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mendapat keputusan penghakiman Persatuan Badminton Dunia (BWF).

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini berusaha keras mendapatkan keputusan secepat mungkin selepas perbicaraan Sabtu lalu di Amsterdam.

Timbalan Presiden Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, BAM bukan mahu mendesak ahli panel BWF namun pihaknya menggunakan setiap saluran yang ada untuk mendapatkan keputusan secepat mungkin.

“Ia bagi membolehkan Chong Wei kembali beraksi ketika tarikh tutup kelayakan ke Kejohanan Dunia bakal berakhir 30 April ini selain kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 bermula 1 Mei depan,” katanya.

Ujar Norza, mereka melakukan yang terbaik agar Chong Wei kembali beraksi segera.

“Kita tidak menyalahkan BWF dalam hal ini. Mungkin mereka memerlukan masa kerana ini kes berprofil tinggi dan seperti saya katakan kita akan mencari jalan selain berusaha untuk mengetahui keputusan secepat mungkin,” ujarnya.

Tiga ahli panel bebas, dua dari Eropah dan satu dari India yang mengadili kes Chong Wei masih belum membuat keputusan dan memberikan tempoh maksimum tiga minggu untuk keputusan dikeluarkan secara rasmi.

Ia bagaikan satu penantian penuh penyeksaan buat Chong Wei kerana tidak sabar kembali ke gelanggang selepas digantung sementara BWF sejak 11 November lalu kerana didapati menggunakan bahan terlarang, dexamethasone ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu.

Jika keputusan diketahui selewat-lewatnya minggu depan, Chong Wei boleh beraksi pada Piala Sudirman di Dongguan, China (10 hingga 17 Mei) termasuk Sukan SEA Singapura (5 hingga 16 Jun) yang menyaksikan namanya disenaraikan oleh Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen untuk segera mendapatkan rentak permainannya.

Chong Wei yang kini berada dalam ranking ke-17 dunia masih boleh layak ke Kejohanan Dunia (10 hingga 16 Ogos) biarpun dijangka kedudukannya jatuh ke tangga 31 ranking terbaru BWF yang akan dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keputusan sesi pendengaran Chong Wei, Norza, berkata kelewatan keputusan ahli panel BWF itu mungkin disebabkan terlalu banyak bukti yang dikemukakan pasukan pembelaan diketuai peguam Mike Morgan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:09 AM