Alias Abd Rani

Batu Pahat: "Empat hari lalu, saya ada jumpa beberapa tulang bawah tebing dalam kebun durian, tapi tak sangka milik manusia," kata penjaga kebun durian yang hanya dikenali sebagai Wong, 72, susulan penemuan rangka manusia dipercayai Hafiz Fauzan Abd Halid, 17.

Difahamkan, rangka manusia itu ditemukan pekerja pembersihan ketika memotong rumput di tepi Jalan Yong Peng-Muar dekat Kampung Sri Wangi, di sini, pagi semalam.

Menurut Wong, dia langsung tidak mengusik tulang terbabit kerana menyangka milik haiwan memandangkan binatang kerap mati di kawasan terbabit.

"Sebelum ini, memang banyak haiwan mati dalam kawasan kebun ini, malah kerap jumpa bangkainya dan tidak peduli. Saya hanya tahu bila polis datang ke kebun.

"Dari situlah baru saya tahu tulang dijumpai milik manusia. Saya juga dimaklumkan, ada motosikal di celah pokok.

WONG menunjukkan lokasi penemuan tulang manusia dalam kebun durian di bawah jagaannya, di Kampung Sri Wangi. FOTO Alias Abd Rani
WONG menunjukkan lokasi penemuan tulang manusia dalam kebun durian di bawah jagaannya, di Kampung Sri Wangi. FOTO Alias Abd Rani

"Padahal, setiap hari selama sebulan, saya keluar masuk kebun ini untuk mencari durian, namun tiada pula ternampak objek mencurigakan," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Menurutnya, selepas penemuan rangka itu, dia diminta membuat laporan polis pada hari sama.

Katanya, kebun terbabit dipenuhi semak dan kerja pembersihan termasuk memotong rumput hanya dilakukan sejak 20 hari lalu memandangkan ketibaan musim durian.

Sementara itu, penyelia tapak projek pembinaan Kompleks Penghulu Mukim VI Linau, Mohd Rizza Masri, 38, berkata dia bersama pekerja lain tidak menghidu bau kurang menyenangkan walaupun kedudukannya tidak jauh dari lokasi.

Katanya, pada hari penemuan rangka, dia bersama rakan seperti biasa menjalankan kerja harian yang dimulakan sejak dua bulan lalu dan rakan tidak terhidu bau kurang menyenangkan.

"Yang kami hidu setiap hari adalah bau durian, selain daripada itu, memang tiada langsung. Tapi semalam, kami terkejut kerana melihat polis datang ke kebun itu.

"Kami tertanya-tanya sebelum diberitahu ada rangka manusia ditemui dalam kebun itu.

"Saya tahu ada pelajar hilang sejak bulan lalu, tapi tak jangka ditemui di sini. Kami pun tidak terkata-kata selepas penemuan rangka terbabit," katanya.

Semalam, polis mengesahkan penemuan rangka manusia dalam kebun durian disyaki milik Hafiz Fauzan, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) selepas dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu.

Turut ditemui motosikal sebuah motosikal dikatakan hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 2:32 PM