CHONG Wei tidak beraksi di Terbuka Malaysia.
CHONG Wei tidak beraksi di Terbuka Malaysia.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kejohanan Terbuka Malaysia 2015, bermula 31 Mac ini, mungkin kehilangan seri tanpa kelibat Datuk Lee Chong Wei yang masih menjalani penggantungan sementara atas kesalahan doping.

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Chong Wei ibarat legenda Terbuka Malaysia dan ketiadaannya sedikit sebanyak menjejaskan kemeriahan kejohanan itu.

“Namun sebagai tuan rumah kita akan mencari jalan lain dan ini juga peluang terbaik buat pemain pelapis yang sebelum ini dibayangi Chong Wei.

“Saya harap kali ini pemain negara yang lain dapat meneruskan kesinambungan kecemerlangan itu dan mencari jalan untuk mencuri tumpuan tidak kira perseorangan atau beregu,” katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Sukan SAM-100Plus 2014 semalam.

Norza berkata, berdasarkan pencapaian tahun lalu beregu lelaki, Goh V Shem-Lim Khim Wah beraksi dengan cemerlang apabila muncul juara.

“Berdasarkan pencapaian terkini V Shem-Tan Wee Kiong (naib juara Grand Prix Emas Terbuka Switzerland 2015), mereka mungkin menjadi sandaran,” katanya.

Dalam pada itu, Norza berkata, mereka sudah bersedia untuk Panel Perbicaraan Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membabitkan Chong Wei pada 11 April ini.

“Saya sudah memberitahu Chong Wei dan peguam, Mike Morgan, supaya lebih fokus kepada proses pendengaran ini. Kita berharap yang terbaik.

“Setakat ini, Pengurus Besar BAM, Kenny Goh akan bersama-sama Chong Wei ke Amsterdam, sekiranya Chong Wei ingin membawa sesiapa saja, dia boleh berbuat demikian.

“Kita masih lagi dalam perancangan bila akan bertolak ke Amsterdam,” katanya.

Norza turut berkata, BAM akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk meneliti kenaikan gaji jurulatih seperti mana dicadangkan Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen.

Katanya, mereka akan mengadakan mesyuarat bagi menilai permohonan dikemukakan Frost berhubung perkara itu.

Norza berkata, perkara itu mungkin diselesaikan sebelum bermulanya Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 di Stadium Putra, Bukit Jalil hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:20 AM