Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mengedar dadah methamphetamine seberat 366.93 gram.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu di akhir pembelaan selepas tertuduh Mohd Aduka Muhamad, 40, didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar methamphetamine dan melakukan kesalahan itu di tepi jalan di sebuah kampung di Pulau Kerengga, Marang, 9 malam pada 4 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

MOHD Aduka ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Aduka ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 4 Mei 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 3:01 PM