NGA ketika sesi soal jawab Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
NGA ketika sesi soal jawab Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta dan Terbengkalai (TFST) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyelamatkan 663 projek swasta yang sakit dan terbengkalai dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, ia sekali gus menyelamatkan 78,554 pembeli rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM57.09 billion.

"Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2023, TFST berjaya menyelesaikan 452 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai membabitkan 53,697 unit rumah dengan GDV sebanyak RM39.8 billion.

"Sementara itu, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei 2024 pula, sebanyak 211 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan dengan GDV sebanyak RM17.2 billion yang membabitkan 24,857 unit rumah," katanya ketika sesi soal jawab Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai bentuk bantuan disediakan oleh kementerian terhadap pembeli rumah yang berdepan dengan masalah projek sakit.

Mengulas lanjut, Nga berkata, pihaknya sentiasa mencari alternatif terbaik yang bersesuaian dan efektif dalam pemulihan projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai.

Katanya, antaranya adalah menerusi pemantauan berkala, turun padang ke tapak projek, libat urus bersama agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengenal pasti kaedah pencegahan atau penyelesaian yang lebih berfokus bersama pemaju.

Selain itu katanya, KPKT juga telah melaksanakan kaedah secara berfokus mengurangkan beban pembeli antaranya pertama, mengemukakan senarai nama pembeli yang terkesan dengan projek perumahan kerajaan kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi mempertimbangkan penstrukturan semula bayaran pinjaman.

Kedua katanya, dengan mengeluarkan surat pengesahan projek perumahan swasta sakit atau terbengkalai oleh pengawal perumahan mengikut Seksyen 8A(1)(c) bagi pembeli yang bercadang untuk

menamatkan perjanjian jual beli kediaman.

"Ketiga, pemantauan melalui TFST termasuk mengadakan libat urus dan perbincangan dengan pemaju untuk mencari penyelesaian bagi mempercepatkan penyiapan projek.

"Usaha ini hanya boleh dilaksanakan jika terdapat sokongan dan komitmen di antara pemaju dan pembeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 2:14 PM