PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei disahkan positif bahan terlarang ‘dexamethasone’ dalam ujian sampel B yang dilakukan di Hospital Universiti Olso, Norway, Rabu lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Norza Zakaria memberitahu sidang media, hari ini, bahawa beliau menerima keputusan rasmi itu daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Bagaimanapun, katanya, nama pemain yang dimaksudkan itu masih belum boleh didedahkan sebelum selesai proses siasatan dijalankan oleh BWF.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Chong Wei terbabit dalam doping selepas bahan ‘dexamethasone’ ditemui dalam air kencingnya ketika ujian rawak dijalankan pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu.

`Dexamethasone’ adalah sejenis ubat steroid dengan kesan antiradang bagi kegunaan rawatan pelbagai masalah kesihatan dan pemulihan termasuk reumatologi.

Norza berkata, kes itu akan drujuk kepada panel pendengaran doping BWF dan keputusan jatuh hukum akan diketahui dalam masa dua minggu lagi.

“BAM akan bekerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi menangani isu berkenaan dan peguam yang pakar dalam undang-undang sukan, Mike Morgan dari England dilantik bagi membantu isu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 4:52 PM