Alyssa Dezek
Alyssa Dezek
Norhayati Nordin


Putrajaya : Memasang impian meraih keputusan terbaik pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 nanti, penyanyi, pelakon dan YouTuber remaja, Alyssa Dezek, 16, nekad membuat persediaan setahun lebih awal.

Alyssa atau nama sebenarnya, Aryanna Alyssa Dezek berkata, dia bersyukur apabila usahanya belajar bersungguh-sungguh untuk ujian diagnostik subjek perakaunan bagi kemasukan aliran di tingkatan empat mendapat keputusan sangat cemerlang.

"Saya sebenarnya tak sangka pun akan berjaya dapat markah 100 peratus dalam ujian diagnostik itu sebelum pemilihan ke aliran perakaunan untuk pelajar tingkatan empat yang diadakan pihak sekolah.

"Memang saya fokus belajar untuk ujian diagnostik berkenaan sebab tak nak ambil aliran sains kerana saya rasa agak sukar dan saya memilih untuk ke aliran perakaunan saja bagi SPM 2025 nanti,"' katanya kepada Harian Metro.

Alyssa berkata, dia percaya jika mahu berjaya dalam pelajaran perlu berusaha dan atas sebab itu, dia tetap 'mencari masa' untuk membuat ulang kaji pelajaran.

Terdahulu, Alyssa ditemui pada Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, bagi meraikan seramai 243 pelajar yang mendapat semua A dalam SPM 2023.

Alyssa berkata, apabila banyak hari tidak datang ke sekolah kerana sibuk dengan urusan penggambaran kerja, dia akan hilang tumpuan terhadap pelajaran dan penting untuknya mengikuti kelas tuisyen tambahan yang efektif.

"Saya tidak mahu disebabkan jadual kerja yang padat boleh jadi penghalang untuk saya meraih kejayaan dalam pelajaran. Bagi saya, pendidikan sangat penting untuk jaminan masa depan kerana ilmu itu pelita hidup," katanya.

Selain Alyssa, majlis inspirasi itu turut dihadiri duta dan ikon PTTI iaitu penyanyi, Iman Troye dan MK K-Clique, termasuk persembahan nyanyian membabitkan beberapa artis popular seperti Nabila Razali, Bella Astillah dan Zaki Yamani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 2:36 PM